Tuesday, December 29, 2009

51. Cuti dari bekerja.

Rumah lama kebanggaan Terengganu. Cukup memikat hati.

Selalunya aku akan bercuti dari bekerja setiap tiga bulan bagi mengisi kepala yang selalu berserabut dengan tugas harian. Jadi pada Disember ini, aku mengambil peluang bercuti ke Terengganu dalam perjalanan pulang ke kampung menjenguk orang tua. Sempatlah melawat Muzium Terengganu barang sekejap.

Disamping itu juga, singgah ke Pasar Payang untuk membeli barangan tembaga yang popular di sana.
Dan mengambil kesempatan untuk bersolat di Masjid Kristal yang penuh tanda tanya ini. Wallah huallam.

Friday, October 9, 2009

Dunia

Sempena pertukaran aku ke Shah Alam, tak sempatlah aku merasa untuk duduk di rumah yang baru di beli di Sitiawan. Apa yang dapat cuma tengok sahaja. Perasaan tu bercampur baur, sedih, hiba dan suka pun ada. Itulah adat dunia, setiap apa yang kita rancang, Allah jua yang menentukannya.

Saturday, September 12, 2009

49. Bertukar

Mulai 1.10.2009 aku diarahkan bertukar ke pejabat cawangan Shah Alam. Dalam hati ada dua perkara, suka dan musykil. Suka kerana setelah 11 tahun di sini, akhirnya aku dapat keluar dari kepompong yang sudah lama di huni. Musykil pula dengan tahap tekanan yang bakal diterima di pejabat baru. Namun, kekuatan semangat di terima setelah menerima panggilan telefon dari penyelia di sana yang menginginkan aku memasuki unitnya. Sekurang kurangnya aku dah tahu siapa penyelia aku dan aku biasa bekerja bersamanya yang penuh humor.

Thursday, August 6, 2009

48.Air Terjun

Baru baru ini dalam perjalanan dari Beruas ke Taiping, aku teringat akan ada satu air terjun yang menurut rakanku sangat sesuai untuk berkelah bersama keluarga. Tetapi tempatnya aku tidak tahu di mana. Jadi aku bertanya kepada seorang penduduk yang aku temui di jalanan. Belaiu memaklumkan bahawa tempatnya lebih kurang 2km dari situ. Apabila aku sampai, rupa rupanya nama kampung tersebut ialah Kg Air Terjun. Bukannya air terjun yang boleh dibuat mandi manda, cuma nama sebuah kampung sahaja.

Wednesday, July 15, 2009

47.Tertangguh

Semenjak kebelakangan ini, aku begitu sibuk sekali dengar bertukarnya status aku sebagai pelajar separuh masa di U*M. Hasrat untuk berjalan jalan makan angin ke Sabah pun terbantut dek kerana semasa tarikh perjalanan, aku perlu menghadiri kelas.
Tetapi aku sedikit terangsang apabila melihat " quote " yang terpampang di sekolah Yaya seperti di atas. Apa apa pun, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Thursday, June 4, 2009

46. Pos Malaysia.

Semalam, berurusan di Pos Malaysia Sg Siput. Jika sebelum ini, aku amat bosan berurusan di Pos Malaysia dek kerana waktu menunggu yang begitu lama terpaksa dibuang dan kondisi persekitaran yang tidak mesra pelanggan. Namun, perubahan ketara telah dilakukan oleh mereka dengan memperkenalkan sistem nombor giliran dan kerusi duduk untuk pelanggan telah merobah keinginan untuk aku berurusan di sana.
Tahniah dan syabas untuk Pos Malaysia dan ingatlah bahawa pelanggan adalah raja. Hormatilah pelanggan yang memberi RM kepada kita.


Saturday, May 30, 2009

45. KFC.

Yaya sudah mendapat keputusan peperiksaan semester 1 semalam. Beliau berkeinginan mengajak kami belanja dia makan. Seperti selalu, aku bertanya ke mana? Jawabnya, KFC. Eh, bukankah KFC itu Yahudi? Kataku, dia menjawab KFC tu tak Yahudi, yang Yahudi ialah Mc D babah. Aku kata semuanya sama sahaja dan penerangan tentang makanan berkhasiat dan makanan tidak berkhasiat begitu panjang sekali kepadanya. Kebetulan pula, sebelum ini cikgunya menyuruh beliau menyediakan folio berkaitan makanan tu.
Alhamdulillah, berjaya pujukanku. Tapi tengoklah apa yang di pesan beliau. Cuma air kosong saja bila kami ke kedai lain. Kasihan.

Monday, May 25, 2009

44. Hobi Baru.



Semenjak kebelakangan ini, setiap kali aku mengisi petrol, Yaya pun mahu turun sama. Pada mulanya aku ingatkan dia ingin tolong mengepam petrol dan aku melarangnya. Tetapi terus dituju di tempat takungan untuk menyimpan pengelap cermin. Katanya, ada. Terus dia mengambil alat mengelap cermin dan dilapnya. Seronok katanya.

Teringat kembali masa remaja dulu, aku pun suka sangat bila ada pam atendan mengelap cermin tu. Tengok alat tu ke sana kemari dicermin dari dalam kereta. Tapi itu dulu, sekarang semuanya kena dilakukan sendiri. Kata Yaya, dia merasa seronok bila dalam kereta, cermin yang bersih. Mungkin perli kut, aku memang malassss nak basuh kereta. Mula beli saja yang rajin, bila dah lama...aduh.

Saturday, May 23, 2009

43.Mentimun

Kalau namanya mentimun, sentiasanyalah kena lenyek dengan benda yang lagi keras. Begitulah resam hidup di dunia. Walau di dalam mana mana suasanapun, iaitu pekerjaan, pemerintahan, keluarga hatta kejiranan. Jika kita adalah manusia yang ' biasa biasa ', apa jua yang kita lakukan akan sentiasa diperlekehkan oleh orang lain. Walau sebenar tindakan yang kita buat itu betul dan menjurus kepada perlakuan yang sebenar. Mereka yang berada di atas kita akan sentiasa memijak kita. Hanya hukum Allah saja yang betul. Mudahan orang yang " mentimun " akan dilimpahi rahmat Allah di akhirat nanti.

Sunday, May 17, 2009

42. Gondol.

Sebagaimana gondol hutan yang ditebang untuk tujuan pembalakan sepanjang Jalan Senggang, Parit menuju ke Sayong, Kuala Kangsar diatas, sebegitulah gondolnya pemikiran aku perihal kemelut politik di P****.
Marah....kata Hamka, sebagai pelindung diri seseorang. Tidak marah, seumpama batu yang tidak bernyawa. Tetapi marah perlu dibilas dengan air sembahyang, penawar untuk menyejuk hati.

Saturday, May 16, 2009

41. Guru

Selamat Hari Guru. Tanpa guru, kita tidak akan ke mana mana. Tiada ilmu yang boleh digarap sendiri tanpa ada guru yang mengajarnya.
Terima kasih kepada Cikgu Asmat ( SK Ayer Lanas ) yang mengajarku membaca, Cikgu Yusof ( SK Ayer Lanas ) yang mengajarku mengenali Bahasa Inggeris, Ustaz Adnan ( SK Ayer Lanas ) yang mengajarku mengenali hakikat untuk mengingati Allah, Ustaz Harun ( SK Ayer Lanas ) yang mengajarku mengenali huruf jawi ( walaupun sehingga hari ini aku masih tidak dapat mengeja perkataan " terowong " dalam Jawi ), Cikgu Ibrahim Tomong ( SMK Kamil ) yang membuatkan aku sedikit minat kepada mata pelajaran Sains, Cikgu Azizah ( SMK Kamil ) yang selalu menyuruh aku melukis peta masa pelajaran Geografi, Cikgu Madihah ( SM Teknik Terengganu ) yang selalu menyebut nama aku sebagai contoh kepada pelajar lain dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan semua guru guru lain sepanjang aku menjadi pelajar di SK Ayer Lanas, SMK Kamil dan SM Teknik Terengganu kerana anda semua sanggup menjadi lilin untuk menerangi orang lain.
Begitu juga dengan pensyarah di UTM KL, Uitm Kelantan, Uitm Dungun dan Uitm Shah Alam. Semoga Allah membalas jasa jasa anda di dunia dan akhirat.
Tak ketinggalan untuk Mak dan Chek yang telah menjadi guru dengan memberi panduan tentang kehidupan sejak kecil hingga sekarang. Syabas.

Monday, May 11, 2009

40. Boss Baru

Hari ini, aku menerima boss baru di pejabat. Aku akan ingat sampai bila bila selagi aku di pejabat ini akan kata katanya. " Saya tidak suka staf saya ber"boss" dengan saya kerana anda semua bukan kuli untuk mengangkat saya. Saya adalah sama seperti anda kerana kita semua bekerja untuk organisasi ini.

Aku tabik.

Friday, May 8, 2009

39. Masuk U.

Sekarang, musim anak anak lepasan SPM menerima tawaran bagi melanjutkan pelajaran seterusnya. Teringat masa aku dulu pada tahun 1985, dimana aku menerima tawaran belajar di UTM dalam bidang pengajian Kejuruteraan Awam.

Aku cuma mengikut kengkawan yang lain memilih bidang tersebut walau sebenarnya aku tahu aku tidak meminati mata pelajaran Fizik, Kimia dan Matematik Tambahan. Dan akhirnya, aku gagal di semester ketiga pengajian. Jadi, anak anak semua, pilihlah bidang yang kita mampu terokai dan ikut kata hati sendiri dalam mencari ilmu. Jangan jadi macam aku.

Waktu pendaftaran masuk ke UTM, aku menaiki bas berseorangan ke KL. Tiada emak dan bapa yang hantar.Nasib baik masa tu ada saudara jauh jauh yang berada di sana. Di rumah dialah aku menumpang sebelum mendaftar. Dan seingat aku, pada masa tu, semua bas dari Pantai Timur menggunakan Medan Tuanku sebagai terminal di KL. Jenuh juga, jadi rusa masuk kampung.

Aku ditempatkan di Kolej Kedua UTM di Kg Baru. Letih juga naik bas turun bas ke kampus. Jika kelas sampai jam 5, kami cuma boleh lepak saja di kawasan kampus. Masa tu, aku dapat biasiswa JPA sebanyak RM1500 satu semester. Dan ramai geng lain yang beli motor. Aku tak beli pun. Duit habis gitu saja. Merasalah sekejap dapat biasiswa.

Sunday, May 3, 2009

38. Cuti Dari Bekerja

Sempena cuti dari bekerja, tidak mengetahui apa yang perlu dibuat. Keputusan di ambil untuk berkelah di Pantai Teluk Batik. Ramai sungguh pengunjung. Dapatlah merehatkan minda dan jiwa di sana.

Tuesday, April 28, 2009

37. Hari Lahir.

Balik dari kerja, Yaya sibuk menyuruh aku ke dapur. Katanya ada "surprise". Rupa rupanya dia menyiapkan kad ucapan sempena hari lahir aku. Oh..terima kasih, ada insan lain yang mengingatkan aku tentang hari lahirku. Malamnya, "Ibu" berkeinginan makan kek di Secret Recipe. Layan.
Semoga Allah memanjangkan usiaku demi mencari ibadah yang belum lagi sempurna. Amin.

Monday, April 27, 2009

36. Yang Aku Jumpa.

Sempena perisytiharan Lumut sebagai Bandar TLDM, aku jengok sekejap ke sana. Dan gambar di atas adalah pemandangan yang aku jumpai semasa hendak memakir kereta. Sungguh tak sopan, menjemur pakaian dalam di tempat awam. Tambahan pula bersempena acara perisytiharan tersebut. Tiada apa yang menarik.

Saturday, April 25, 2009

35. Emak vs Emak Mertua

Sepanjang minggu lepas, aku bergegas ke Kuala Lumpur. Emak sekali lagi dihantar ke Hospital Ampang kerana mengalami masalah pernafasan. Paru parunya telah dimasuki makanan yang tidak hadam. Rupa rupanya pesakit stroke juga akan menghidapi komplikasi pernafasan akibat makanan pejal.
Seminggu emak dirawat di sana dan terimakasih dan syabas kepada anggota Hospital Ampang yang cekap dan berhemah dalam memberikan rawatan kepada pesakitnya.
Kami adik beradik bergilir gilir menjaga emak, dan syukurlah kerana ramai juga yang prihatin melawat emak walaupun berada jauh dari kampung halaman.
Manakala pada masa yang sama, emak mertuaku juga di masukkan ke Hospital Ampang Puteri kerana mengalami masalah paru paru berair. Kami sekeluarga sempat menjenguk beliau dan "Ibu" juga sempat menjaga emaknya walau pun sekejap.
Alhamdulillah, beliau beransur sembuh setelah doktor mengeluarkan cecair yang berwarna kehitaman dari paru parunya.
Di samping itu juga, Yaya sempat menjengah ke Pamiran Buku di PWTC. Walaupun kesempitan masa, aku turuti juga kemahuannya ke sana demi ilmu.
Dapatlah dia membeli buku buku cerita untuk di senaraikan dalam Projek Nilam sekolahnya.
Di satu sudut, Yaya telah menjalani IQ test yang khabarnya membolehkan semua anggota pemikiran berfungsi seperti otak, mata dan tangan. Namun, tidak mampu aku membelinya kerana harganya RM1000 lebih. Cuba saja di situ.

Monday, April 13, 2009

34. Dugaan

Tidak tertanggung
Bila bertanya khabar emak
Sebak, sedih mamagut rasa
Sebolehnya berada di sebelah
Disaat memerlukan
Bukan diminta berjauhan
Pelbagai cubaan dibuat
Permohonan bertukar sentiasa di pohon
Allah belum membuka jalan
Atau ujian pada hamba

Sunday, April 12, 2009

33. 3 Dalam 1

Minggu lepas, bergegas pulang ke kampung. Balik dengan pengangkutan awam.Tengok mak. Bawa dia ke hospital. Doktor memaklumkan mak kena stroke. Bincang dengan adik beradik lain dan keputusan di ambil untuk menghantar mak ke Kuala Lumpur, tinggal dengan kakakku di sana demi memudahkan penjagaan mak. Syukur, selesai belenggu.
Pada tengahari, singgah di Pasar Kok Lanas. Yaya nak makan laksam pula.
Selesai membeli di Kok Lanas, singgah ke tempat kenduri di depan rumah kakak di Kok Lanas.
Yaya kata, kat sini bisinglah kenduri. Ada orang bersilat. Selepas diterangkan bahawa silat itu adalah lambang kita orang Melayu. Baru dia rasa seronok. Makan serba ringkas di sana. Nak cepat.
Kemudian, ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Putera. Ambil kakak dari KL. Asalnya penerbangan sampai jam 2.30 petang. Tapi penerbangan tertunda di sebabkan hujan di Sepang. Sampai jam 5.30 petang. Nasib baik bawa Yaya sekali, tidaklah rasa penat menunggu.
Cuma letih melayan dia keluar masuk kedai di Lapangan Terbang itu. Nasib baik baru dibaiki, kalau yang dulu....meloponglah aku di situ.
Syukur kepada Allah, semuanya dipermudahkan.

Saturday, April 11, 2009

32. Lumut Waterfront

Sekarang ini pada waktu petang, jika tidak mendaki Bukit Busu...aku juga berjogging dan berjalan di tepi Lumut Waterfront ini. Orang tidak ramai di sini. Di samping itu juga, dapat mencuci pandangan mata kepada pemandangan yang cukup mendamaikan ini.

Thursday, April 2, 2009

31. Kali Pertama

Hari ini kali pertama aku membuat repot di Balai Polis. Ini adalah ekoran semalam, aku menerima tetamu tanpa diundang datang kerumahku memaklumkan bahawa isteri aku membuat fitnah ke atas isterinya. Dia memberitahu isteri beliau sekarang ini takut untuk keluar rumah ekoran fitnah yang dibuat oleh isteriku. Aku tanya kembali, kalau isteri kamu tidak bersalah mengapa takut mahu keluar. Di sini perangkap ku menjadi. Nyata, isteri beliaulah yang bercakap bohong.

Dan pada hari ini, atas nasihat seorang rakan aku segera ke Balai Polis Sitiawan untuk membuat repot polis demi keselamatan anak dan isteri aku di rumah sepanjang aku bertugasan untuk organisasi yang membayar upahku.

Aku cuma berpegang kepada janji Allah yang sentiasa bersama mereka yang bercakap benar.

Monday, March 30, 2009

30. Jatuh

Baru saja menerima berita, bahawa mak terjatuh semasa ingin menunaikan solat subuh semalam. Sememangnya, semasa di kampung baru ni pun aku dah merasakan bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas beliau. Tetapi, kita tidak dapat menolak takdir Allah.

Alhamdulillah, kakakku yang berada di Kok Lanas kebetulan datang pada hari tersebut dan membawa balik ke rumahnya. Lega rasa hati. Sebagai anak lelaki, aku rasa sungguh bersalah dalam hal ini. Apakan daya, jarak memisahkan kita.


Semoga Allah memelihara kedua duanya.

Tuesday, March 24, 2009

29. Seminggu di kampung.

Sempena cuti persekolahan baru lalu aku mengambil cuti selama seminggu pulang ke kampung. Perkara pertama yang dibuat di kampung ialah mencari penebang pokok untuk menebang pokok durian di belakang rumah kerana bimbang akan ketinggiannya akan menyebabkan ianya tumbang dan menimpa rumah.

Penebang pokok ini berasal dari Thailand dan sememangnya lima bintang patut diberikan kepada beliau kerana kerjanya yang begitu " super " dan sempurna sekali. Upahnya cuma RM30 ringgit saja.

Antara perkara yang tidak pernah dilepaskan semasa di kampung ialah menziarahi Pasar Besar Tanah Merah.

Tujuannya ialah untuk menikmati mee kuah yang rasanya sungguh sedap sekali....

Inilah rupa mee yang dipesan. Hirup kuahnya sampai licin sudah menjadi kegemaran kami sekeluarga.

Di samping itu, menzarahi bandar Kota Bharu dan menginap di salah senuah hotel di sini. Gambar menunjukkan Yaya sedang menunggu kolam renang di buka.

Di sini, kolam di buka dari 10.00 pagi hingga 2.00 petang untuk pengunjung wanita dan dari 3.00 petang hingga 7.00 malam untuk lelaki.

Pada paginya pula, sempat singgah di Dataran Ilmu, tempat di mana MB Kelantan mengadakan tazkirah pada setiap hari Jumaat. Tapi sayang, semasa kami sampai orang lain sudah pulang...cuma tinggal sedikit sahaja peniaga yang masih berjualan.

Tidak lupa juga, sempat singgah di Pantai Seri Tujuh, Tumpat bagi menemankan seorang rakan yang kebetulan ada hal di sana. Sempat juga singgah di chalet terapung yang ada di sana.

Pemandangan dari chalet terapung.

Hari terakhir di kampung, aku mengambil kesempatan untuk memetik daun misai kucing untuk diminum air nya. Mak kata ia berkhasiat bagi menurunkan tekanan darah tinggi dan kencing manis.

Pada pertengahan jalan balik ke Manjung, berhenti rehat di Puncak Titiwangsa di Lebuhraya Timur Barat.

Pemandangan dari puncak Titiwangsa, sungguh tenang dan damai. Menyejukkan mata memandang.

Akhir sekali, singgah di Pusat Rekreasi Guar, Manong bagi menghilangkan kepanasan.
Semoga lain kali dapat lagi menjengah orang tua di kampung, selagi mampu dan berpeluang. Cuma ini saja yang dapat dicurahkan bakti kepada mereka, kekangan pekerjaan menjadi halangan untuk bersama mereka setiap masa. Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka setiap masa. Insya Allah.

Friday, March 13, 2009

28. Nasihat

Bersempena dengan keputusan peperiksaan SPM semalam, aku menerima panggilan dari rakan di mana anak beliau cuma mendapat 2A sahaja berkenaan hala tuju yang sepatutnya anak beliau perlu ambil bagi meneruskan pencarian ilmu. Aku menasihati agar beliau teruskan pembelajaran ke tingkatan enam sahaja dan memilih aliran sains sosial. Alasannya ialah peluang bagi lepasan pelajar di tingkatan enam untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA adalah lebih besar peratusannya jika seseorang pelajar mendapat sekurang kurang Prinsipal B dalam peperiksaan STPM. Tambahan pula saingan mereka tidak sengit kerana kebanyakan pelajar cemerlang di peringkat SPM tidak mengambil peperiksaan STPM.

Disamping itu juga daripada pengalaman aku, para pelajar yang berakademik sederhana ini cuma bermula dengan mengambil Diploma sahaja dan selepas itu ada yang ingin terus bekerja, dan ini menyebabkan mereka terlambat untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah pertama.


Monday, March 9, 2009

27. Mewah.

Yaya : Bah, malam ni kita makan kat luar nak?
Babah : Tanya Ibu dulu, kut kut Ibu dah masak.
Yaya : Ibu kata ok, makan kat luar.
Babah : Nak makan kat mana? Kita gi " Chef Noodle " nak tak?
Yaya : Tak naklah....situ tak mewah.
Babah : Hah..mewah? Habis tu kat mana mewah?
Yaya : KFC ke Mc Donald ke...
Babah : Kenapa kat situ mewah?
Yaya : Ada lampu banyak, air cond lagi.
Babah : Kat situ lagi tak mewah, pasal dia sekutu Israel.
Yaya : OK bah, tak payah gi situ, kita gi Chef Noodle sajalah.

Moral of the story, jangan cuba memewahkan anak anak dengan barangan Yahudi nih. Mereka mudah terjerat. Tanamkan sikap memboikot ni sedari kecil, nanti bila besar mereka akan faham.

Sunday, March 8, 2009

26. Teringat


Saat dan tika ini

teringat pada mok dan cek
di kampung
rindu pada pulut pagi
pada gulai kawah
pada orang kampung datang menjemput
makan gulai sempena maulidur rasul
Allah.....
kembalikan ingatanku kepada semua perkara di atas
nun jauh melampaui sempadan
Kelantan Darul Naim

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Friday, March 6, 2009

25. Penyu

Dalam perjalanan pulang dari Pantai Remis, aku singgah sebentar ke Pantai Pasir Panjang. Berhenti untuk menghilangkan penat selepas seharian bertugas rasmi ke sana.

Di tepian pantai ini, terdapat Baitul Hilal, dimana apabila ketibaan bulan Ramadhan dan nak menyambut Hari Raya Aidil Fitri menjelma....di sinilah tempat ahli falak menengok anak bulan.

Manakala, di sebelah Baitul Hilal ada pusat pengurusan penyu dan dari perbualan dengan petugas di sana, beliau memaklumkan di pantai inilah pusat penyu mendarat untuk bertelur.

Anak anak penyu yang telah menetas di pelihara sebelum di lepaskan ke laut.


Ibu penyu juga di pelihara di sini iaitu dari spesies penyu agar. Kasihan dia kerana terpaksa meninggalkan habitatnya di laut lepas.

Yang ini pula, tersandar di tepi kolam. Sedih agaknya.

Manakala yang ini paling cergas. Menurut petugas di situ, penyu ini memang aktif kerana selalu di bawa keluar dari pusat itu untuk sebarang pertunjukan...he he..macam artis. Patutlah aktif.