Sunday, December 26, 2010

73. Kota Kinabalu@day 2 and 3

Jam 6.00 pagi, bangun supaya tidak terlepas melihat puncak Kinabalu kerana pada jam 7.00 awan akan mula meliputi puncaknya. Sungguh cantik pandangan dan memukau mata.
Jam 7.00 pagi, mentari mula memancar dan amat menakjubkan bila sang mentari memancar cahaya memanah puncak gunung.

Selepas itu, turun ke Pekan Kundasang bagi melihat aktiviti penjual sayur. Agak mahal juga harganya, tetapi segar.

Ayam dijual hidup hidup disini, kena sembelih sendiri. Ayam kampung pun ada di jual.

Singgah ke Pine Kinabalu Resort, landskap yang cantik dan terjaga.

Bunga yang sama tetapi berlainan warna.
Dalam perjalanan turun, berhenti sekejap di pintu masuk ke Kinabalu Park. Sebab nak cepat, berhenti sekejap saja.


Perjalanan ke Kota Kinabalu sebenarnya membawa pertemuan aku dengan sahabat lama yang terputus hubungan sejak 1995. Pada malamnya kerana ingin mencari kedai untuk makan malam, aku cuba mencari Restoran Tiara di sekitar Jalan Pantai Sembulan kerana kenalan yang aku berbual semasa di Kundasang mencadangkan untuk makan di Restoran Tiara. Selepas penat mencari akhirnya berjumpalah restoran ini. Dan sungguh tak di sangka kerana tuan punya restoran ini rupanya sahabat lama aku dan pertemuan ini sungguh bermakna kerana dapat berjumpa semula setelah sekian lama.
Sempat mengambil gambar di bangunan ini.

Dan perjalanan berakhir dengan kapal terbang menjengah tanah Semenanjung.

Saturday, December 25, 2010

72. Kota Kinabalu@hari 1

Setelah lama tertangguh mengunjungi ke Kota Kinabalu sehinggakan pernah dah ' book' tiket tapi tak juga pergi, maka sempena cuti sekolah ini berangkatlah aku ke sana sambil melepaskan tekanan kerja seharian. Check in di hotel Dynasty Tang dan pengalaman ini boleh di kongsi di sini , di mana terdapat lima hotel Dynasty Tang di Sabah. Jadi pada mereka yang bercadang menginap disini, sila semak dahulu alamat yang tepat, kalau tidak haru biru jadinya kerana jarak yang agak jauh antara satu sama lain.
Hari pertama, belum dapat lagi kereta yang nak disewa, kami naik bas saja ke Pasar Filipina yang banyak menjual ikan masin dan hasil dari laut dengan tambang cuma 50 sen saja. Harga yang diletakkan memang tinggi, tetapi jika anda bijak dalam tawar menawar, dapatlah beli dengan harga yang munasabah.

Sempat juga menjenguk ke Pantai Tanjung Aru, tetapi tak ramai pengunjung di sana. Pantainya landai dan sesuai untuk mandi manda.

Melawat ke Muzium Sabah, tetapi masih dalam pengubahsuaian dan kami dapat diskaun tiket masuk sebanyak RM1.

Check out dari Hotel Dynasty Tang Park untuk ke Kundasang dalam jam 1.00 tengahari.

Dalam perjalanan ke Kundasang, singgah di Kg Nabalu, tempat membeli cenderahati dan kraftangan, tetapi ramai sangat anjing berkeliaran dalam kedai dan mematikan hasrat melihat dan membeli.

Check in di Mount Kinabalu Heritage resort dalam jam 4.00 petang dan pengalaman pertama kami semua tersangkut di dalam lif akibat terlebih muatan.

Pemandangan puncak Kinabalu dari bilik hotel, awan menyapu puncak Kinabalu.

Sungguh damai dan tenang pada pandangan mata. Hilang segala tekanan dan keserabutan.

Selepas selesai menjamah makanan di Kundasang, singgah ke Pasar Malam Kundasang.

Ini pada jam 6.00 dan masuk waktu Maghrib. Kabus segala pandangan dan agak sejuk.

Pasar mini di Kundasang dan harganya lebih kurang saja dengan di Semenanjung.












Thursday, December 9, 2010

71. Gunung Stong

Dalam perjalanan balik kampung baru baru ini, aku melalui jalan Gua Musang - Dabong - Jeli. Di pertengahan perjalanan, samapai ke simpang ke Gunung Stong. Sementelah nampak pandangan yang memukau dari jalan raya meninggi air terjunnya, maka singgahlah sekejap kami ke sana. Pandangan di atas adalah kaki air terjun tersebut.
Manakala gambar di bawah merupakan pemandangan dari jalan menuju ke sana. Sungguh indah ciptaan Tuhan.